Followers

Wednesday, 19 February 2020

Sukarelawan: Impian semakin jadi kenyataan

Alhamdulillah, hari ini Allah mudahkan untuk aku memulakan impian aku untuk menjadi seorang sukarelawan. Basically, telah lama aku inginkan untuk menjadi seorang sukarelawan. Aku ingin merasai sendiri bagaimanakah perasaannya menjadi seorang yang membuat sesuatu pekerjaan tanpa mengharapkan apa-apa ganjaran sebagai balasan.

Jadinya aku mulakan impian aku dengan menghubungi pekerja yang bertanggungjawab untuk menyelia sukarelawan di tempat berkenaan. Perkara ini berlaku dengan sangat spontan tanpa ada apa-apa perancangan. 

Aku bertanyakan kepadanya bagaimanakah untuk menjadi sukarelawan di tempat itu dan apakah tugasan yang perlu dilakukan. Aku rasa ayat aku memang skema dalam hal-hal begini, yelah sesuatu yang murni perlu dimulakan dengan baik bukan? hehe

Aku dipelawa untuk hadir ke pusat berkenaan bagi perbincangan lanjut. InsyaAllah sekiranya ada kelapangan dalam masa yang terdekat akan aku usahakan secepat mungkin memandangkan permohonanku sangat dialu-alukan.

InsyaAllah akanku ceritakan aktiviti-aktiviti yang dilakukan di sana sebagai kenangan dan bacaan di hari tua.

Monday, 17 February 2020

Wish List 2020 (2): Berkelah

Well. Berdasarkan pengalaman hidup aku benda-benda yang tidak dirancang akan berakhir dengan keseronokkan. Ianya juga berdasarkan pengamatanku berkenaan kehidupan. Betul, perancangan itu perlu. Tapi benda-benda yang tidak dirancang adakalanya lebih menyeronokkan bukan? hehe

Semalam aku bersama Ain dan Ecah berkelah di pantai Port Dickson. Aku agak teruja sebenarnya bertemu mereka memandangkan kami bertiga tidak berpeluang untuk berjumpa bertiga sejak setahun yang lepas. Alhamdulillah Allah mudahkan pertemuan ini.

Aku bersiap awal pagi tu. Haha. Solat Subuh seperti biasa, aku mohon Allah permudahkan pertemuan ini dan agar pertemuan ini adalah salah satu pertemuan yang menggembirakan buat kami bertiga. Alhamdulillah Allah murahkan rezeki. Umi dan ayah yang baru pulang dari masjid membawakan bekalan sarapan untuk kami 3 sahabat nanti. Banyak betul makanan yang umi belikan. 5 bungkus nasi lemak, 10 ketul kuih karipap dan 6 buji kuih koci.

Perjalanan ke Port Dickson Allah mudahkan. Kami berkelah di pantai belakang Bayu Beach Resort. Tempat untuk berkelah dicadangkan oleh Ain. Pantainya bersih dan pasirnya sangat halus. Cumanya di sini tidak disediakan tempat untuk menyalin baju. Apa-apa pun kami tidak bercadang untuk mandi hanya berkelah sambil menikmati permandangan pantai yang sangat indah.

Kami pun memilih tempat di bawah pohon yang redup berhampiran dengan sebuah kemah. Alhamdulillah. Ain membawa macaroni cheese dan air teh o panas. Ecah membawa bihun goreng dan air oren sejuk. Banyak betul makanan.

Ain membawa anaknya bersama, Fayyadh. Besar da Fayyadh. Fayyadh sudah berumur 6 tahun. Seperti biasa setiap kali berjumpa pasti ada sahaja cerita yang ingin dikongsikan bersama. Perkembangan terbaru dan terkini dikongsikan sehingga tidak menyedari masa yang berlalu. Masa terasa cepat berlalu. Perkelahan kami terpaksa ditamatkan sehingga jam 12.30 tengahari kerana Ecah perlu pulang ke rumah untuk memasak makanan tengahari buat keluarganya.

Perkelahan kali ini adalah antara aktiviti yang menyeronokkan buatku untuk tahun ini. Sememangnya aktiviti ini sangat aku nanti-nantikan sekian lama.

Friday, 24 January 2020

Nak 1 dapat 3

Lately aku teringin sangat nak makan kek. Aku pun merancang dengan cah nak berjumpa di salah sebuah restoran yang sememangnya menjual kek yang pelbagai jenis. Allah itu maha baik bukan? Pada fikiran aku, kami hanya akan membeli sepotong kek dan berkongsi memakannya bersama. Tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya. Ecah belanja 3 kek dengan dinikmati bersama secawan air sedap. Hehe. Seronoknya ada cah. Terima kasih cah, moga selalu dimurahkan rezeki. Aku sangat bersyukur Allah pertemukan seorang sahabat sebaik cah.


Selesai makan, kami berjalan-jalan di Taman Tasik Titiwangsa menikmati suasana malam di ibu kota sambil melihat dan merasai sendiri kemudahan riadah baru yang disediakan di sana. Sangat menyeronokkan. Terima kasih Ya Allah.

Friday, 17 January 2020

Wish List 2020 (1): Belajar buat kek

Hai dan assalammualaikum.

Alhamdulillah dah masuk tahun 2020. Like seriously tahun 2020 kan. Syukur, Allah masih panjangkan umur untuk sampai ke tahun ini. Untuk tahun ini, aku ingin mencuba beberapa perkara baru yang tak pernah aku jangkakan aku akan buat dalam hidup ku. Jadi aku mulakan dengan kelas membuat Cheese Cake. Jadinya aku pun mula la buat beberapa bacaan untuk belajar di mana dan mendapatkan pendapat daripada beberapa orang yang aku rapat untuk berikan cadangan.

Akhirnya, aku buat keputusan untuk belajar di Sugar_Bytes yang diasaskan oleh Puan Azura. Promosi iklan yang dibuat menarik minatku untuk belajar di sana dengan yuran pendaftaran yang sangat berpatutan. Yeay!

Hari dimulakan dengan baik. Solat Duha seperti biasa InsyaAllah tidak akan dilupakan sekiranya berkelapangan. Alhamdulillah dapat singgah di Masjid Putrajaya, yang sememangnya sangat cantik tersergam indah di tepi tasik. Cantik betul masjid ni.


Seusai solat aku pun meneruskan perjalanan ke kelas. Alhamdulillah perjalanan sangat mudah untuk ke sana tanpa sesat atau sebarang kesukaran. Hari dimanfaatkan sepenuhnya dengan menuntut ilmu kemahiran membuat 3 jenis Cheese Cake.

1) Japanese Cotton Cheese Cake

2) Nutella Cheese Cake Bars

3) Blueberry Cheese Cake Bars


Semua jenis kek memang sedap. Seriously sangat menyelerakan bila dilihat. Tapi malangnya aku tak berkesempatan lagi untuk mencuba di rumah membuatnya sendiri disebabkan beberapa kekangan. InsyaAllah akan cuba juga nanti dan sememangnya telah dimasukkan ke dalam planner tahunan untuk mencubanya. Hehe.

Kelas diakhiri dengan penuh kesyukuran dan Cheese Cake yang dibawa pulang sangat tidak sabar untuk dinikmati bersama air kopi panas. Nyummy! Terima kasih cikgu untuk ilmu yang cikgu kongsikan, semoga cikgu terus berjaya. Amin.

Wednesday, 27 November 2019

Aku yang suka menjahit

Assalammualaikum. Lebih afdal. heh!

Sudah lama kiranya tidak menulis. Aku agak sibuk kebelakangan ini. Hehe. Kehidupan dipenuhi aktiviti-aktiviti dengan adanya beberapa minat baru yang aku gemari. Antaranya ialah menjahit. Aku boleh duduk berjam-jam di hadapan mesin jahit bagi menyiapkan projek-projek jahitanku.

Susulan daripada pembelajaran menjahit aku sebulan yang lepas, alhamdulillah Allah berikan ilham untuk mereka dan membuat beberapa baju lain berlandaskan ilmu serta sedikit kemahiran yang ada. Ilmu asas itu berjaya dikembangkan untuk menghasilkan beberapa reka bentuk baju yang lain. Hasil daripada didikan cikgu-cikguku, aku berjaya menghasilkan beberapa buah tangan sendiri. Terima kasih cikgu!

Antara jenis baju yang sudah selesai aku menjahitnya adalah:

  • baju kurung moden;
  • blouse;
  • baju jubah; dan
  • baju punjabi.
Alhamdulillah. Aku tidak meletakkan penanda aras yang tinggi dalam menghasilkan baju-baju berkenaan. Sebabnya aku tahu yang aku hanyalah tukang jahit amatur bukannya profesional. Dapat menghasilkan jenis baju yang pelbagai bagiku sudah cukup baik. Dalam proses menjahit bagiku bahagian yang paling susah untuk dibuat adalah untuk menjahit lapik leher dan keruk lengan. Setakat ini alhamdulillah bahagian-bahagian berkenaan selamat untuk dicantumkan namun agak menggelikan hati apabila melihat hasilnya. Haha. Haih! Kelakar pulak bila ingat balik.

Banyak perkara yang masih perlu diperbaiki. Antaranya adalah mengambil saiz yang betul dalam pembuatan polar besar, mempertingkatkan mutu serta kekemasan jahitan, sentiasa menjahit mengikut basi yang telah ditandakan terlebih dahulu di atas baju dan banyak lagi. 

Sudah sekian lama aku pendamkan hasrat untuk belajar menjahit dan dengan hasil yang diperolehi aku berpuas hati. InsyaAllah kemahiran yang ada akan cuba untuk digilap supaya produk akhir yang dihasilkan lebih kemas dan cantik. Yeay!

Sunday, 13 October 2019

Baling, Kedah

Syukur, Allah berikan peluang dan kesempatan untuk sampai ke daerah Baling di Kedah. Perjalanan ke sana mengambil masa dalam 1 jam 10 minit dari tempat tinggal di sini untuk sampai. Jalan ke sana dikelilingi hutan di kiri dan kanan. Bagi aku agak menyeramkan jika pergi bersendirian.

Hati juga agak risau kerana Baling baru-baru ini dilanda banjir dan perbualan dengan seorang pemandu Grab yang menyatakan daerah berkenaan agak sukar untuk menerima talian internet. Errr! Alhamdulillah Allah mudahkan. :)

Antara tujuan ke sana adalah untuk melawat tapak bersejarah berlakunya Rundingan Baling di antara Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu dengan pihak Parti Komunis Malaya pada akhir Disember 1955. Rundingan berkenaan telah berlangsung di Sekolah Inggeris Baling yang kini dikenali sebagai SK Tunku Putera.


Setelah selesai melawat tempat berkenaan, kami menghabiskan masa untuk bersiar-siar melawat pekan Baling. Pekannya di kelilingi dengan pemandangan gunung ganang yang sangat cantik. Subhanallah! Kami juga sempat untuk berhenti seketika di Masjid Ridzwaniah Pekan Baling. Masjid berkenaan berlatar belakangkan gunung batu kapur yang sangat mengasyikkan di pandangan mata.
Cantik, sangat cantik!



Selepas itu kami membeli sedikit cenderahati berupa sebuah periuk Cap Buaya buatan Siam. Baru aku tahu yang periuk besi Cap Buaya ini besinya agak tebal dan buatannya cantik juga sedikit mahal daripada jenama periuk lain dari negara berkenaan.

Bertapa baiknya Allah, memberikan peluang dan kesempatan yang tidak terhingga untuk melihat kebesaran serta keesaanNya. Syukur! Terima kasih ya Allah.

Friday, 11 October 2019

Terjumpa semula buku catatan: Kata-kata Khalifah Abu Bakar As Siddiq

Pagi ni, aku terjumpa semula buku catatan aku. Mataku tertacap pada catatan-catatan yang pernah aku catat suatu ketika dahulu berkenaan pengucapan khalifah islam agung iaitu Khalifah Abu Bakar As Siddiq. Pengucapannya sangat merendah diri.

Ucapan Khalifah Abu Bakar semasa dilantik menjadi khalifah sangat menyentuh hati semasa aku membacanya. Ucapannya berbunyi, "Wahai saudara-saudaraku sekalian. Sesungguhnya saya telah dilantik menjadi pemimpin kamu, walaupun saya tidak meminta jawatan itu. Demi Allah, saya lebih gembira sekiranya orang lain yang dilantik memikul tanggungjawab ini kerana saya bukanlah yang terbaik di kalangan kamu. Oleh itu, sekiranya saya melakukan kebaikan maka bantulah dan berikanlah kerjasama. Tetapi sekiranya saya melakukan keburukan maka perbetullah saya. Ketahuilah kebenaran itu adalah satu amanah dan pembohomgan itu satu pengkhianatan. Orang yang lemah di kalangan kamu adalah kuat di sisiku kerana saya akan membelanya. Orang yang kuat di sisi kamu adalah lemah di sisi saya kerana saya akan mengambil hak daripadanya."

Pesan Khalifah Abu Bakar kepada tentera-tentera yang akan menentang Parsi, "Bertakwalah saudara kepada Tuhan. Jangan tinggalkan sembahyang semasa senang atau susah, semasa perang atau aman, semasa sihat atau sakit."

Surat Saidina Abu Bakar kepada Khalid Al-Walid selepas Khalid berjaya dalam peperangan menentang Parsi, "Saya berpesan kepada kamu, jangan sesekali berasa taajub dan bermegah dengan kelebihan yang ada pada dirimu. Nanti kamu akan rugi dan menjadi hina. Hendaklah kamu berhati-hati dalam segala tindakan termasuk dalam beramal ibadah. Ingatlah segala kelebihan yang ada pada dirimu adalah kurniaan daripada Allah. Dia berkuasa memberikan pembalasan."