Followers

Friday, 8 March 2019

Hari Wanita dan 1 Rejab

Baru-baru ni aku rasakan yang aku suka menulis. Adakalanya sesuatu benda susah untuk diungkapkan dengan kata-kata, tapi adakalanya dengan tulisan juga manusia susah untuk memahami situasi sesuatu keadaan dan emosi yang diletakkan dalam sesuatu penulisan. Iya? Ini pengalaman yang betul-betul dialami, dan aku pasti yang lain juga akan merasakan begitu kerana pemahaman melalui tulisan adalah berdasarkan mood pembaca ketika membaca sesuatu masej yang diterima. 

Hari ini 2 sambutan yang disambut seluruh dunia; Hari Wanita Sedunia dan juga 1 Rejab. Bersempena sambutan Hari Wanita Sedunia hari ini, tema "Seimbang Untuk Sejahtera" telah dipilih. Memperkasakan wanita bagi aku adalah satu benda yang penting bersesuaian dengan peredaran zaman di mana ianya bukanlah untuk menyaingi lelaki tetapi dalam bersama-sama untuk membangunkan generasi. Kepentingan wanita dalam membentuk generasi masa hadapan telah banyak dibuktikan dalam lipatan sejarah manusia. Keunikan yang dimiliki wanita yang tiada pada lelaki telah menyumbang kepada keseimbangan yang lebih positif. Kelembutannya, kepandaiannya, kecekalannya dan kesebarannya adalah dikagumi. Betul? sebab aku kagum dengan umi aku. Umi wanita yang aku kagumi sepanjang hidup aku, walapun akan wujud ramai wanita yang berjaya dalam hidup, umi sentiasa jadi wanita cekal dan paling kental. 

Aku yakin bersempena 1 Rejab ramai yang menerima masej yang berbunyi; Rasulullah bersabda: "Barang siapa yang memberitahu berita rejab kepada yang lain, maka haram api neraka baginya". Diatas rahmat dan nikmat Allah yang maha tahu, atas hadirnya sahabat yang perihatin membuatkan aku terbuka untuk menyelidik kesahihan ungkapan yang kononnya daripada rasul junjungan. Berdasarkan tulisan yang dibaca pada Laman Web Rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan yang sememangnya menjadi tempat rujukan utamaku hal-hal berkaitan agama. Penulis menegaskan yang mana hadis berkenaan adalah palsu dan tidak diketahui asalnya daripada kitab-kitab hadis yang muktabar. Ini merupakan salah satu pendustaan yang direka dan disandarkan di atas Nabi SAW. Kesemua hadis yang menceritakan tentang kelebihan memberitahu akan kemasukan awal bulan-bulan Islam ini adalah palsu. Justeru itu, penyebaran hadis ini perlu dihentikan dengan serta merta sama ada melalui meja-meja penceramah dan juga media sosial serta ia tidak boleh lagi disebarkan melainkan untuk menyatakan kepalsuannya. Maklumat lanjut berkenaan perkara ini boleh la dirujuk kepada yang lebih arif dan ahlinya atau terus dibaca pada laman web berkenaan agar kita tidak sama-sama bersubahat dalam berkongsi perkara-perkara yang tidak sahih dan seterusnya akan menambahkan kekeliruan umat Islam. Wallahua'lam.

No comments:

Post a Comment