Followers

Sunday, 13 October 2019

Baling, Kedah

Syukur, Allah berikan peluang dan kesempatan untuk sampai ke daerah Baling di Kedah. Perjalanan ke sana mengambil masa dalam 1 jam 10 minit dari tempat tinggal di sini untuk sampai. Jalan ke sana dikelilingi hutan di kiri dan kanan. Bagi aku agak menyeramkan jika pergi bersendirian.

Hati juga agak risau kerana Baling baru-baru ini dilanda banjir dan perbualan dengan seorang pemandu Grab yang menyatakan daerah berkenaan agak sukar untuk menerima talian internet. Errr! Alhamdulillah Allah mudahkan. :)

Antara tujuan ke sana adalah untuk melawat tapak bersejarah berlakunya Rundingan Baling di antara Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu dengan pihak Parti Komunis Malaya pada akhir Disember 1955. Rundingan berkenaan telah berlangsung di Sekolah Inggeris Baling yang kini dikenali sebagai SK Tunku Putera.


Setelah selesai melawat tempat berkenaan, kami menghabiskan masa untuk bersiar-siar melawat pekan Baling. Pekannya di kelilingi dengan pemandangan gunung ganang yang sangat cantik. Subhanallah! Kami juga sempat untuk berhenti seketika di Masjid Ridzwaniah Pekan Baling. Masjid berkenaan berlatar belakangkan gunung batu kapur yang sangat mengasyikkan di pandangan mata.
Cantik, sangat cantik!



Selepas itu kami membeli sedikit cenderahati berupa sebuah periuk Cap Buaya buatan Siam. Baru aku tahu yang periuk besi Cap Buaya ini besinya agak tebal dan buatannya cantik juga sedikit mahal daripada jenama periuk lain dari negara berkenaan.

Bertapa baiknya Allah, memberikan peluang dan kesempatan yang tidak terhingga untuk melihat kebesaran serta keesaanNya. Syukur! Terima kasih ya Allah.

Friday, 11 October 2019

Terjumpa semula buku catatan: Kata-kata Khalifah Abu Bakar As Siddiq

Pagi ni, aku terjumpa semula buku catatan aku. Mataku tertacap pada catatan-catatan yang pernah aku catat suatu ketika dahulu berkenaan pengucapan khalifah islam agung iaitu Khalifah Abu Bakar As Siddiq. Pengucapannya sangat merendah diri.

Ucapan Khalifah Abu Bakar semasa dilantik menjadi khalifah sangat menyentuh hati semasa aku membacanya. Ucapannya berbunyi, "Wahai saudara-saudaraku sekalian. Sesungguhnya saya telah dilantik menjadi pemimpin kamu, walaupun saya tidak meminta jawatan itu. Demi Allah, saya lebih gembira sekiranya orang lain yang dilantik memikul tanggungjawab ini kerana saya bukanlah yang terbaik di kalangan kamu. Oleh itu, sekiranya saya melakukan kebaikan maka bantulah dan berikanlah kerjasama. Tetapi sekiranya saya melakukan keburukan maka perbetullah saya. Ketahuilah kebenaran itu adalah satu amanah dan pembohomgan itu satu pengkhianatan. Orang yang lemah di kalangan kamu adalah kuat di sisiku kerana saya akan membelanya. Orang yang kuat di sisi kamu adalah lemah di sisi saya kerana saya akan mengambil hak daripadanya."

Pesan Khalifah Abu Bakar kepada tentera-tentera yang akan menentang Parsi, "Bertakwalah saudara kepada Tuhan. Jangan tinggalkan sembahyang semasa senang atau susah, semasa perang atau aman, semasa sihat atau sakit."

Surat Saidina Abu Bakar kepada Khalid Al-Walid selepas Khalid berjaya dalam peperangan menentang Parsi, "Saya berpesan kepada kamu, jangan sesekali berasa taajub dan bermegah dengan kelebihan yang ada pada dirimu. Nanti kamu akan rugi dan menjadi hina. Hendaklah kamu berhati-hati dalam segala tindakan termasuk dalam beramal ibadah. Ingatlah segala kelebihan yang ada pada dirimu adalah kurniaan daripada Allah. Dia berkuasa memberikan pembalasan."

Thursday, 10 October 2019

Kemajuan yang tidak disangka

Aku ada terbaca satu ungkapan daripada seorang genius terkenal dunia; Albert Einstein, "Everyone is a genius, but if u judge a fish on its ability to climb a tree, it will live its whole life believing that it is stupid" Aku ternampak ungkapan ini masa aku sedang tekun melukis polar kecil untuk baju kurung moden pertama yang akan aku hasilkan tidak lama lagi. Hehe. Terujanya!

Polar baju pertama yang aku hasilkan daripada didikan dan tunjuk ajar Cikgu Aisyah. Aku suka sangat cikgu ni. Lagi muda dari aku, jauh lagi muda. Comel orangnya, senyum ja. Baik. Orang yang sentiasa senyum tu semestinya baik. Heh!


Aku tak sangka betul yang aku boleh hasilkan lukisan seteknikal macam ni. Terharunya dengan segala rahmat dan kebaikan yang Allah hadiahkan pada aku. Aku tak mengharapkan sesuatu yang sangat sempurna kerana kesempurnaan itu hanyalah milik Allah. Alhamdulillah. Terima kasih Ya Allah.

Alhamdulillah hari ini hari ke-2 sesi pembelajaran aku di sana. Aku rasa aku agak tekun belajar. Suasana pembelajaran tidaklah begitu tertekan. Kekangan dalam memahami loghat masyarakat tempatan membolehkan aku menumpukan sepenuh perhatian dengan apa yang aku usahakan. Kalau nak mencelah pun, aku tak berapa nak faham akan apa yang mereka sembangkan.

Syukur, siap juga polar besar untuk baju kurung moden itu nanti. Sangat penat! Lenguh pinggang dibuatnya. Oleh sebab itu, aku membuat keputusan untuk hanya menghabiskan sesi pembelajaran separuh hari sahaja. Okay la tu. Haha! Tapi aku rasakan aku perlu tambahkan kelajuan dan kecekapan kerana tempoh pembelajaran hanyalah 16 jam. Mudahkanlah Ya Allah.

Bertapa baiknya Allah. Aku tak pernah sangka dalam perjalanan hidup aku di dunia ini yang aku akan hasilkan benda-benda macam ini. Kesyukuran yang tidak terhingga di atas rahmatmu Ya Rabb :)

Tuesday, 8 October 2019

Bagaimanakah aku hendak diingati, pabila aku sudah tiada?! (2)

Petang yang sejuk. Hujan! Alhamdulillah, Allah melimpahkan rezekinya kepada penduduk Bumi yang bertuah. Jerebu juga semakin berkurangan. Langit tersenyum biru kembali. Metafora sangat petang ni. Hehe!

Boleh dikatakan hari ini adalah hari yang agak prodaktif bagiku.  Aku telah mendaftar untuk belajar menjahit sebagai pelajar separuh masa di sebuah syarikat kolaborasi dengan agensi kerajaan. Yeay! Apa-apa pun, aku tak kesah sangat pun di mana tempat aku belajar. Asalkan tempat tersebut senang untuk aku pergi dan balik, selamat serta tenaga pengajar yang komited dalam mencurahkan ilmu. Proses pembelajaran tidak bermula lagi, tapi aku dapat rasakan tenaga pengajar di sana semesra dengan pemilik syarikat yang sangat positif dengan objektif penubuhannya.

Kesyukuran aku panjatkan kepada Allah Yang Maha Kaya. Hampir 2 bulan aku tercari-cari tempat yang sesuai untuk aku mulakan belajar. Aku telah berhubung dengan pemilik syarikat itu sebelum ini. Namun, disebabkan beberapa kekangan yang aku sendiri tidak dapat nak selesaikan jadi aku pendamkan dahulu niat murni aku itu.

Peraturan Allah itu sememangnya cantik. Entahlah, aku percaya yang manusia lebih mengaturkan sesuatu bersesuain dengan cita-cita dan impian mereka, namun percaturan Allah itu lebih baik. Sesungguhnya Dialah yang menciptakan manusia dan semestinya ianya dibuat dengan penuh cinta. Terima kasih Ya Rabb.

Telah ke sana semalam untuk mendaftar, malangnya pejabat telah tutup. Ketibaan mungkin di luar waktu pejabat. Proses pendaftaran hari ini, Allah mudahkan. Tidak pernah terjangkakan dalam benak fikiran aku yang aku akan memiliki sendiri pembaris skala bersaiz kecil. Antara peralatan yang tidak pernah aku tahu kewujudannya. Haha!

Terlalu banyak benda yang sedang aku fikirkan sekarang. InsyaAllah niat untuk belajar kemahiran berkenaan, bukannya sahaja aku niatkan untuk kebaikan diri sendiri. Namun, aku berniat juga untuk memberi semula kepada masyarakat. Mungkin aku akan mulakan dahulu dengan orang terdekat. Emak, adik-beradik, makcik-makcik, jiran-jiran …

Bestnya hujan! :)

Pandai penulis skrip



Cantik! Bangun pagi hari ni, mata tertacap pada bunga yang diletakkan di atas meja belajar. Nampak biasa, tapi bagiku sangat cantik. 3 kuntum bunga mawar yang diapit dengan beberapa bunga hiasan lain. Cantik, sangat cantik!

Aku baru sahaja selesai menonton drama korea "Goblin". Drama ni menjadi salah satu drama yang aku minati selain daripada beberapa pelakon yang aku sukai, jalan ceritanya juga menarik. Sangat disyorkan untuk ditonton semula nanti. Heh!

Begitu banyak nasihat dan mesej yang baik dapat diambil serta diteladani. Salah satunya adalah adab dalam berkata-kata. Penulis skrip drama berkenaan berjaya menulis bibit-bibit kata dengan sangat baik dan sangat sedap untuk didengari. 

Aku teringatkan perkongsian daripada kakakku beberapa tahun lepas, membuatkan aku berfikir semula. Bersyukur Allah datangkan orang-orang yang baik untuk membantuku dalam memperbaiki diri yang semestinya tidak sempurna ini. Perkongsian berkenaan adalah tentang ayat daripada Al-Quran dari surah Ibrahim, Allah berfirman yang bermaksud "Tidakkah kamu perhatikan bagaimana Allah membuat perumpamaan kalimat yang baik seperti pohon yang baik, akarnya teguh dan cabangnya (menjulang) ke langit, pohon itu memberikan buahnya setiap musim, dengan seizin Rabbnya. Allah membuat perumpamaan-perumpamaan itu untuk manusia agar mereka selalu ingat. Dan perumpamaan kalimat yang buruk seperti pohon yang buruk, yang telah dicabut dengan akar-akarnya dari permukaan Bumi, tidak dapat tegak sedikit pun"

Kata-kata yang diungkapkan penuh tertib dengan menggunakan bahasa yang baik serta teratur dalam mengungkapkannya sudah pasti akan dapat menenangkan setiap jiwa yang mendengar dan mungkin dapat melembutkan hati yang keras. Doaku agar Allah permudahkan dan melancarkan lidah dalam berkata yang baik-baik. Amin, YRA.

Monday, 7 October 2019

Bakat baru

Adakalanya bakat itu perlu dicungkil kerana tidak semua yang berbakat, bakatnya datang secara semulajadi. Tahun ini aku dapat tahu yang aku berbakat dalam melukis dan aku rupanya gemar melukis serta mewarna. Ianya mampu mengalihkan seketika perhatian kepada sesuatu yang menenangkan serta dapat merangsang otak dalam berkreativiti. Alhamdulillah :)

Lukisan pertama yang aku lukis adalah sekuntum bunga mawar. Agak tidak berseni, namun masih ada rupa. Agaknya. Heh! 


Minat dalam melukis, mencetuskan beberapa lagi lukisan yang kebanyakannya berunsurkan motif bunga-bungaan. Diakui lukisan berunsurkan motif ini lebih mudah untuk dihasilkan berbanding lukisan potret berbentuk manusia nyata. Antara hasil lukisan yang aku berpuas hati dalam menghasilkannya. Tidak seperti hasil karya pelukis handalan, tapi aku menikmati setiap saat dalam penghasilannya.



Kepuasan dalam menghasilkan sesuatu karya menanamkan keiiginan agar diberikan kebolehan untuk menyemadikan semua objek yang cantik pada pandangan mata dalam bentuk lukisan. Cita-cita dirasakan agak menggunung tinggi, masih banyak usaha perlu dilakukan untuk sampai ke tahap itu. Namun, tidak ada yang mustahil bukan? Moga Allah berikan ruang dan kesempatan.

Sunday, 6 October 2019

Bagaimanakah aku hendak diingati, pabila aku sudah tiada?! (1)

Bismillah.

Tahun 2019, hampir melabuhkan tirainya dalam tempoh tidak lebih daripada 2 bulan. Masa dirasakan terlalu cepat berlalu. Sedih, gembira, suka dan duka perasaan yang semestinya silih berganti mengikut peredaran masa. Perkara-perkara dan peristiwa-peristiwa yang berlaku dalam kehidupan ini pasti ada hikmah tersembunyi yang kita sendiri tidak tahu apa disebaliknya. Doaku acap kali kepada Yang Maha Tahu, "Ya Allah sesungguhnya tiada apa yang aku ada melainkan apa yang Engkau berikan kepadaku dan tiada apa yang aku tahu melainkan apa yang Engkau ajarkan kepadaku Ya Allah". If Allah shuts a door, don't keep banging on it. In fact, if a door closes on you. Just open a window, climb out. Move on! Have faith that whatever is behind the closed door is not meant for you.

Setiap manusia itu baik, namun ada yang tidak tahu bagaimana untuk jadi baik. Usia yang semakin hari bertambah, membuahkan rasa untuk memberi lebih lagi kepada orang lain. Walaupun keinginan dan semangat itu ada namun memberi dalam sekala yang lebih besar dengan kuantiti yang lebih banyak masih tidak mampu. Heh! Jadi aku mulakan dengan sesuatu yang kecil dengan keupayaan yang aku ada.

Pada ulangtahun kelahiran tahun ini, sesuatu yang agak baru aku lakukan. Mengikut adatnya, orang yang menyambut ulangtahun kelahiran akan diraikan dengan kek harijadi, namun pada tahun ini sebaliknya. Ya, aku memang sangat bersemangat untuk menyediakan kek cawan coklat untuk dikongsi dengan jiran-jiran dan kenalan. Sangat mengujakan! Amalan ini mungkin akan aku teruskan untuk tahun-tahun hadapan kerana aku suka untuk diingati dan didoakan dengan baik-baik semasa hari kelahiranku. :)


Alhamdulillah bertapa baiknya Allah, Dia yang Maha Tahu akan semua yang berlaku di dunia ini. Aku mempunyai keinginan untuk belajar menjahit. Perjalanan untuk mencari ilmu itu sememangnya tidak mudah dan akhirnya Allah tunjukkan juga jalan. Aku percaya setiap yang berlaku ada hikmah, namun adakalanya apa yang dihajati tidak datang bergolek dengan cara serta bentuk yang kita bayangkan. Projek pertama menjahit tahun ini, projek menjahit langsir rumah baru uwan. Aku yang sememangnya tidak pandai menjahit apatahlagi dalam mengendalikan mesin jahit. Proses pembelajaran yang agak sukar, tapi alhamdulillah semakin hari semakin baik. Antara dialog uwan yang menerbitkan perasaan yang bercampur, "Uwan suka langsir baru, sampai bila la uwan dapat tengok langsir ni" :'(


Post di bawah tajuk yang sama akan disambung pada entri yang lain bagi bacaan dan ingatan untuk masa-masa akan datang. Agar kenangan-kenangan yang manis dan menggembirakan juga yang akan membuatkan senyuman di masa itu.

Ditulis di rung tamu sambil menonton Goblin. :)