Followers

Wednesday, 27 November 2019

Aku yang suka menjahit

Assalammualaikum. Lebih afdal. heh!

Sudah lama kiranya tidak menulis. Aku agak sibuk kebelakangan ini. Hehe. Kehidupan dipenuhi aktiviti-aktiviti dengan adanya beberapa minat baru yang aku gemari. Antaranya ialah menjahit. Aku boleh duduk berjam-jam di hadapan mesin jahit bagi menyiapkan projek-projek jahitanku.

Susulan daripada pembelajaran menjahit aku sebulan yang lepas, alhamdulillah Allah berikan ilham untuk mereka dan membuat beberapa baju lain berlandaskan ilmu serta sedikit kemahiran yang ada. Ilmu asas itu berjaya dikembangkan untuk menghasilkan beberapa reka bentuk baju yang lain. Hasil daripada didikan cikgu-cikguku, aku berjaya menghasilkan beberapa buah tangan sendiri. Terima kasih cikgu!

Antara jenis baju yang sudah selesai aku menjahitnya adalah:

  • baju kurung moden;
  • blouse;
  • baju jubah; dan
  • baju punjabi.
Alhamdulillah. Aku tidak meletakkan penanda aras yang tinggi dalam menghasilkan baju-baju berkenaan. Sebabnya aku tahu yang aku hanyalah tukang jahit amatur bukannya profesional. Dapat menghasilkan jenis baju yang pelbagai bagiku sudah cukup baik. Dalam proses menjahit bagiku bahagian yang paling susah untuk dibuat adalah untuk menjahit lapik leher dan keruk lengan. Setakat ini alhamdulillah bahagian-bahagian berkenaan selamat untuk dicantumkan namun agak menggelikan hati apabila melihat hasilnya. Haha. Haih! Kelakar pulak bila ingat balik.

Banyak perkara yang masih perlu diperbaiki. Antaranya adalah mengambil saiz yang betul dalam pembuatan polar besar, mempertingkatkan mutu serta kekemasan jahitan, sentiasa menjahit mengikut basi yang telah ditandakan terlebih dahulu di atas baju dan banyak lagi. 

Sudah sekian lama aku pendamkan hasrat untuk belajar menjahit dan dengan hasil yang diperolehi aku berpuas hati. InsyaAllah kemahiran yang ada akan cuba untuk digilap supaya produk akhir yang dihasilkan lebih kemas dan cantik. Yeay!

Sunday, 13 October 2019

Baling, Kedah

Syukur, Allah berikan peluang dan kesempatan untuk sampai ke daerah Baling di Kedah. Perjalanan ke sana mengambil masa dalam 1 jam 10 minit dari tempat tinggal di sini untuk sampai. Jalan ke sana dikelilingi hutan di kiri dan kanan. Bagi aku agak menyeramkan jika pergi bersendirian.

Hati juga agak risau kerana Baling baru-baru ini dilanda banjir dan perbualan dengan seorang pemandu Grab yang menyatakan daerah berkenaan agak sukar untuk menerima talian internet. Errr! Alhamdulillah Allah mudahkan. :)

Antara tujuan ke sana adalah untuk melawat tapak bersejarah berlakunya Rundingan Baling di antara Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu dengan pihak Parti Komunis Malaya pada akhir Disember 1955. Rundingan berkenaan telah berlangsung di Sekolah Inggeris Baling yang kini dikenali sebagai SK Tunku Putera.


Setelah selesai melawat tempat berkenaan, kami menghabiskan masa untuk bersiar-siar melawat pekan Baling. Pekannya di kelilingi dengan pemandangan gunung ganang yang sangat cantik. Subhanallah! Kami juga sempat untuk berhenti seketika di Masjid Ridzwaniah Pekan Baling. Masjid berkenaan berlatar belakangkan gunung batu kapur yang sangat mengasyikkan di pandangan mata.
Cantik, sangat cantik!



Selepas itu kami membeli sedikit cenderahati berupa sebuah periuk Cap Buaya buatan Siam. Baru aku tahu yang periuk besi Cap Buaya ini besinya agak tebal dan buatannya cantik juga sedikit mahal daripada jenama periuk lain dari negara berkenaan.

Bertapa baiknya Allah, memberikan peluang dan kesempatan yang tidak terhingga untuk melihat kebesaran serta keesaanNya. Syukur! Terima kasih ya Allah.

Friday, 11 October 2019

Terjumpa semula buku catatan: Kata-kata Khalifah Abu Bakar As Siddiq

Pagi ni, aku terjumpa semula buku catatan aku. Mataku tertacap pada catatan-catatan yang pernah aku catat suatu ketika dahulu berkenaan pengucapan khalifah islam agung iaitu Khalifah Abu Bakar As Siddiq. Pengucapannya sangat merendah diri.

Ucapan Khalifah Abu Bakar semasa dilantik menjadi khalifah sangat menyentuh hati semasa aku membacanya. Ucapannya berbunyi, "Wahai saudara-saudaraku sekalian. Sesungguhnya saya telah dilantik menjadi pemimpin kamu, walaupun saya tidak meminta jawatan itu. Demi Allah, saya lebih gembira sekiranya orang lain yang dilantik memikul tanggungjawab ini kerana saya bukanlah yang terbaik di kalangan kamu. Oleh itu, sekiranya saya melakukan kebaikan maka bantulah dan berikanlah kerjasama. Tetapi sekiranya saya melakukan keburukan maka perbetullah saya. Ketahuilah kebenaran itu adalah satu amanah dan pembohomgan itu satu pengkhianatan. Orang yang lemah di kalangan kamu adalah kuat di sisiku kerana saya akan membelanya. Orang yang kuat di sisi kamu adalah lemah di sisi saya kerana saya akan mengambil hak daripadanya."

Pesan Khalifah Abu Bakar kepada tentera-tentera yang akan menentang Parsi, "Bertakwalah saudara kepada Tuhan. Jangan tinggalkan sembahyang semasa senang atau susah, semasa perang atau aman, semasa sihat atau sakit."

Surat Saidina Abu Bakar kepada Khalid Al-Walid selepas Khalid berjaya dalam peperangan menentang Parsi, "Saya berpesan kepada kamu, jangan sesekali berasa taajub dan bermegah dengan kelebihan yang ada pada dirimu. Nanti kamu akan rugi dan menjadi hina. Hendaklah kamu berhati-hati dalam segala tindakan termasuk dalam beramal ibadah. Ingatlah segala kelebihan yang ada pada dirimu adalah kurniaan daripada Allah. Dia berkuasa memberikan pembalasan."

Thursday, 10 October 2019

Kemajuan yang tidak disangka

Aku ada terbaca satu ungkapan daripada seorang genius terkenal dunia; Albert Einstein, "Everyone is a genius, but if u judge a fish on its ability to climb a tree, it will live its whole life believing that it is stupid" Aku ternampak ungkapan ini masa aku sedang tekun melukis polar kecil untuk baju kurung moden pertama yang akan aku hasilkan tidak lama lagi. Hehe. Terujanya!

Polar baju pertama yang aku hasilkan daripada didikan dan tunjuk ajar Cikgu Aisyah. Aku suka sangat cikgu ni. Lagi muda dari aku, jauh lagi muda. Comel orangnya, senyum ja. Baik. Orang yang sentiasa senyum tu semestinya baik. Heh!


Aku tak sangka betul yang aku boleh hasilkan lukisan seteknikal macam ni. Terharunya dengan segala rahmat dan kebaikan yang Allah hadiahkan pada aku. Aku tak mengharapkan sesuatu yang sangat sempurna kerana kesempurnaan itu hanyalah milik Allah. Alhamdulillah. Terima kasih Ya Allah.

Alhamdulillah hari ini hari ke-2 sesi pembelajaran aku di sana. Aku rasa aku agak tekun belajar. Suasana pembelajaran tidaklah begitu tertekan. Kekangan dalam memahami loghat masyarakat tempatan membolehkan aku menumpukan sepenuh perhatian dengan apa yang aku usahakan. Kalau nak mencelah pun, aku tak berapa nak faham akan apa yang mereka sembangkan.

Syukur, siap juga polar besar untuk baju kurung moden itu nanti. Sangat penat! Lenguh pinggang dibuatnya. Oleh sebab itu, aku membuat keputusan untuk hanya menghabiskan sesi pembelajaran separuh hari sahaja. Okay la tu. Haha! Tapi aku rasakan aku perlu tambahkan kelajuan dan kecekapan kerana tempoh pembelajaran hanyalah 16 jam. Mudahkanlah Ya Allah.

Bertapa baiknya Allah. Aku tak pernah sangka dalam perjalanan hidup aku di dunia ini yang aku akan hasilkan benda-benda macam ini. Kesyukuran yang tidak terhingga di atas rahmatmu Ya Rabb :)

Tuesday, 8 October 2019

Bagaimanakah aku hendak diingati, pabila aku sudah tiada?! (2)

Petang yang sejuk. Hujan! Alhamdulillah, Allah melimpahkan rezekinya kepada penduduk Bumi yang bertuah. Jerebu juga semakin berkurangan. Langit tersenyum biru kembali. Metafora sangat petang ni. Hehe!

Boleh dikatakan hari ini adalah hari yang agak prodaktif bagiku.  Aku telah mendaftar untuk belajar menjahit sebagai pelajar separuh masa di sebuah syarikat kolaborasi dengan agensi kerajaan. Yeay! Apa-apa pun, aku tak kesah sangat pun di mana tempat aku belajar. Asalkan tempat tersebut senang untuk aku pergi dan balik, selamat serta tenaga pengajar yang komited dalam mencurahkan ilmu. Proses pembelajaran tidak bermula lagi, tapi aku dapat rasakan tenaga pengajar di sana semesra dengan pemilik syarikat yang sangat positif dengan objektif penubuhannya.

Kesyukuran aku panjatkan kepada Allah Yang Maha Kaya. Hampir 2 bulan aku tercari-cari tempat yang sesuai untuk aku mulakan belajar. Aku telah berhubung dengan pemilik syarikat itu sebelum ini. Namun, disebabkan beberapa kekangan yang aku sendiri tidak dapat nak selesaikan jadi aku pendamkan dahulu niat murni aku itu.

Peraturan Allah itu sememangnya cantik. Entahlah, aku percaya yang manusia lebih mengaturkan sesuatu bersesuain dengan cita-cita dan impian mereka, namun percaturan Allah itu lebih baik. Sesungguhnya Dialah yang menciptakan manusia dan semestinya ianya dibuat dengan penuh cinta. Terima kasih Ya Rabb.

Telah ke sana semalam untuk mendaftar, malangnya pejabat telah tutup. Ketibaan mungkin di luar waktu pejabat. Proses pendaftaran hari ini, Allah mudahkan. Tidak pernah terjangkakan dalam benak fikiran aku yang aku akan memiliki sendiri pembaris skala bersaiz kecil. Antara peralatan yang tidak pernah aku tahu kewujudannya. Haha!

Terlalu banyak benda yang sedang aku fikirkan sekarang. InsyaAllah niat untuk belajar kemahiran berkenaan, bukannya sahaja aku niatkan untuk kebaikan diri sendiri. Namun, aku berniat juga untuk memberi semula kepada masyarakat. Mungkin aku akan mulakan dahulu dengan orang terdekat. Emak, adik-beradik, makcik-makcik, jiran-jiran …

Bestnya hujan! :)

Pandai penulis skrip



Cantik! Bangun pagi hari ni, mata tertacap pada bunga yang diletakkan di atas meja belajar. Nampak biasa, tapi bagiku sangat cantik. 3 kuntum bunga mawar yang diapit dengan beberapa bunga hiasan lain. Cantik, sangat cantik!

Aku baru sahaja selesai menonton drama korea "Goblin". Drama ni menjadi salah satu drama yang aku minati selain daripada beberapa pelakon yang aku sukai, jalan ceritanya juga menarik. Sangat disyorkan untuk ditonton semula nanti. Heh!

Begitu banyak nasihat dan mesej yang baik dapat diambil serta diteladani. Salah satunya adalah adab dalam berkata-kata. Penulis skrip drama berkenaan berjaya menulis bibit-bibit kata dengan sangat baik dan sangat sedap untuk didengari. 

Aku teringatkan perkongsian daripada kakakku beberapa tahun lepas, membuatkan aku berfikir semula. Bersyukur Allah datangkan orang-orang yang baik untuk membantuku dalam memperbaiki diri yang semestinya tidak sempurna ini. Perkongsian berkenaan adalah tentang ayat daripada Al-Quran dari surah Ibrahim, Allah berfirman yang bermaksud "Tidakkah kamu perhatikan bagaimana Allah membuat perumpamaan kalimat yang baik seperti pohon yang baik, akarnya teguh dan cabangnya (menjulang) ke langit, pohon itu memberikan buahnya setiap musim, dengan seizin Rabbnya. Allah membuat perumpamaan-perumpamaan itu untuk manusia agar mereka selalu ingat. Dan perumpamaan kalimat yang buruk seperti pohon yang buruk, yang telah dicabut dengan akar-akarnya dari permukaan Bumi, tidak dapat tegak sedikit pun"

Kata-kata yang diungkapkan penuh tertib dengan menggunakan bahasa yang baik serta teratur dalam mengungkapkannya sudah pasti akan dapat menenangkan setiap jiwa yang mendengar dan mungkin dapat melembutkan hati yang keras. Doaku agar Allah permudahkan dan melancarkan lidah dalam berkata yang baik-baik. Amin, YRA.

Monday, 7 October 2019

Bakat baru

Adakalanya bakat itu perlu dicungkil kerana tidak semua yang berbakat, bakatnya datang secara semulajadi. Tahun ini aku dapat tahu yang aku berbakat dalam melukis dan aku rupanya gemar melukis serta mewarna. Ianya mampu mengalihkan seketika perhatian kepada sesuatu yang menenangkan serta dapat merangsang otak dalam berkreativiti. Alhamdulillah :)

Lukisan pertama yang aku lukis adalah sekuntum bunga mawar. Agak tidak berseni, namun masih ada rupa. Agaknya. Heh! 


Minat dalam melukis, mencetuskan beberapa lagi lukisan yang kebanyakannya berunsurkan motif bunga-bungaan. Diakui lukisan berunsurkan motif ini lebih mudah untuk dihasilkan berbanding lukisan potret berbentuk manusia nyata. Antara hasil lukisan yang aku berpuas hati dalam menghasilkannya. Tidak seperti hasil karya pelukis handalan, tapi aku menikmati setiap saat dalam penghasilannya.



Kepuasan dalam menghasilkan sesuatu karya menanamkan keiiginan agar diberikan kebolehan untuk menyemadikan semua objek yang cantik pada pandangan mata dalam bentuk lukisan. Cita-cita dirasakan agak menggunung tinggi, masih banyak usaha perlu dilakukan untuk sampai ke tahap itu. Namun, tidak ada yang mustahil bukan? Moga Allah berikan ruang dan kesempatan.

Sunday, 6 October 2019

Bagaimanakah aku hendak diingati, pabila aku sudah tiada?! (1)

Bismillah.

Tahun 2019, hampir melabuhkan tirainya dalam tempoh tidak lebih daripada 2 bulan. Masa dirasakan terlalu cepat berlalu. Sedih, gembira, suka dan duka perasaan yang semestinya silih berganti mengikut peredaran masa. Perkara-perkara dan peristiwa-peristiwa yang berlaku dalam kehidupan ini pasti ada hikmah tersembunyi yang kita sendiri tidak tahu apa disebaliknya. Doaku acap kali kepada Yang Maha Tahu, "Ya Allah sesungguhnya tiada apa yang aku ada melainkan apa yang Engkau berikan kepadaku dan tiada apa yang aku tahu melainkan apa yang Engkau ajarkan kepadaku Ya Allah". If Allah shuts a door, don't keep banging on it. In fact, if a door closes on you. Just open a window, climb out. Move on! Have faith that whatever is behind the closed door is not meant for you.

Setiap manusia itu baik, namun ada yang tidak tahu bagaimana untuk jadi baik. Usia yang semakin hari bertambah, membuahkan rasa untuk memberi lebih lagi kepada orang lain. Walaupun keinginan dan semangat itu ada namun memberi dalam sekala yang lebih besar dengan kuantiti yang lebih banyak masih tidak mampu. Heh! Jadi aku mulakan dengan sesuatu yang kecil dengan keupayaan yang aku ada.

Pada ulangtahun kelahiran tahun ini, sesuatu yang agak baru aku lakukan. Mengikut adatnya, orang yang menyambut ulangtahun kelahiran akan diraikan dengan kek harijadi, namun pada tahun ini sebaliknya. Ya, aku memang sangat bersemangat untuk menyediakan kek cawan coklat untuk dikongsi dengan jiran-jiran dan kenalan. Sangat mengujakan! Amalan ini mungkin akan aku teruskan untuk tahun-tahun hadapan kerana aku suka untuk diingati dan didoakan dengan baik-baik semasa hari kelahiranku. :)


Alhamdulillah bertapa baiknya Allah, Dia yang Maha Tahu akan semua yang berlaku di dunia ini. Aku mempunyai keinginan untuk belajar menjahit. Perjalanan untuk mencari ilmu itu sememangnya tidak mudah dan akhirnya Allah tunjukkan juga jalan. Aku percaya setiap yang berlaku ada hikmah, namun adakalanya apa yang dihajati tidak datang bergolek dengan cara serta bentuk yang kita bayangkan. Projek pertama menjahit tahun ini, projek menjahit langsir rumah baru uwan. Aku yang sememangnya tidak pandai menjahit apatahlagi dalam mengendalikan mesin jahit. Proses pembelajaran yang agak sukar, tapi alhamdulillah semakin hari semakin baik. Antara dialog uwan yang menerbitkan perasaan yang bercampur, "Uwan suka langsir baru, sampai bila la uwan dapat tengok langsir ni" :'(


Post di bawah tajuk yang sama akan disambung pada entri yang lain bagi bacaan dan ingatan untuk masa-masa akan datang. Agar kenangan-kenangan yang manis dan menggembirakan juga yang akan membuatkan senyuman di masa itu.

Ditulis di rung tamu sambil menonton Goblin. :)

Thursday, 4 April 2019

Aku dan fisio berpisah tiada

Alhamdulillah, hari yang indah. Aku rasakan hari ni lain sikit suasananya. Hati ku gembira & tenang. Diceritakan dari mulai pagi, Allah gerakkan hati untuk mengesakanNya di saat yang lain masih lena dibuai mimpi alam maya. Sayu. Rasa macam kerdil sangat kita ni di sisi Allah. Menangis dibuatnya bila ingatkan balik terlalu banyak nikmat yang Allah bagi yang adakalanya aku buat sambil lewa je. Tak patut betul!

Seperti biasa, hari ni adalah hari untuk aku berjumpa semula fisioterapi ku, Masitah (J4). Kecik je orangnya, aku rase die sporting. Aku panggil dia Mas je. Mungkin kiteorang sebaya je sebenarnya.
Aku sebenarnya malas nak pegi temujanji fisio aku tu, tapi aku suka jumpa Mas. Kemalasan adalah disebabkan aku terpaksa menempuh denai "Shawn the Sheep" untuk ke hospital. Seriously, jalan kecik tu menakutkan. Aku cuba untuk gambarkan lorong kecik yang menyeramkan itu. Wuuu~

Lorong kecik di belakang hospital tu, adalah jalan pintas yang paling dekat dan cepat untuk aku ke hospital. Daripada aku bazirkan RM7 naik Grab Car baik la aku jalan kaki je. Heh! Bebalik ke lorong seram (macam klakar pulak) tak de la seram sangat pun, ramai je yang lalu jalan ni hari-hari. Lorong ni berdekatan dengan rumah flet di hadapannya, loji kumbahan najis di kirinya dan tapak pembinaan blok hospital di kanannya. Suasana menjadi lebih seram bila aku dengar bunyi air yang mengalir keluar dari loji kumbahan tu. Aku tak pasti air ape, tapi seriously takut. Aku selalu bayangkan yang loji tu pecah dan air bercampur ehem-ehem akan menolak aku jatuh ke longkang besar. Pape entah! Ditambah pula dengan bau yang tak berapa nak menyenangkan. Setiap kali bersendirian di lorong seram aku pasti akan belari tak ingat dunia. Haha! Drama betul.


Okay, da habis cerita pasal lorong kecik yang aku slalu gunakan tu. Walaupun macam tu aku selalu bersyukur sebabnya ada jugak jalan alternatif untuk pegi dan balik hospital. Bebalik kepada temujanji fisio. Aku lambat sampai hari ni 9 minit. Sepatutnya kena jumpa pukul 8, aku sampai kaunter bayaran pukul 8.09 pagi. Aku redha je. Kemudian, sesampai je aku di bilik fisio, Mas tak de lagi. Mungkin dia tengah sibuk melayan pesakit lain.

Mas: Okay, nampaknya keadaan da makin okay, so hari ni kita buat senaman kuatkan otot sahaja. Sila baring, rehatkan badan, relaks je okay. Kemut punggung, then naikkan kaki sikit.
Aku: (Bermonolog dalam hati) macam mana nak kemut punggung? haha. bengong betul.
Aku rasa perkataan tu lawak! Mas, Mas.

Selain aku, ada beberapa pesakit lain yang sedang membuat senaman seperti yang dianjurkan fisioterapi dieorang. Kebanyakannya aku tengok jauh lebih berusia daripada aku. "Orang da berumur baru ade sakit-sakit otot dan tulang, aku tak sampai usia dieorang lagi da sakit". Bukannya merungut, cuma nak ingatkan diri yang sakit tu boleh datang bila-bila je, tak kira usia. Jadi kena la bersyukur dengan nikmat sihat yang Allah bagi.

Habis rawatan, Mas pun bagi tarikh temujanji seterusnya. Aku cadangkan untuk berjumpa semula bulan depan, bulan puasa. Kejap betul nak puasa dah.

Will miss u Mas!

Monday, 1 April 2019

Macam mana nak buat ni!

Hi! haha
Baru-baru ni, seperti kebiasaannya aku yang memang suka berfikir akan berfikir banyak benda tapi dengan tindakan yang sangat minimal. Malas betul macam tu. Aku terfikir dengan usia aku yang tiadalah begitu muda, namun tiadalah juga tersangat warga emas. Heh! Aku teringin nak jadi seorang sukarelawan. Tentunya sukarelawan tidak perlukan bayaran dalam memberikan khidmat masyarakat. Sebab apa tiba-tiba timbulnya pemikiran ini? Well, aku ade tengok satu cerita omputih ni. Usia seawal remaja dah buat aktiviti-aktiviti kebajikan seperti berikan perkhidmatan di klinik-klinik haiwan dll. Pemikiran mereka sangat dewasa.

Kemudiannya, aku dengan gigihnya mencarila web-web berkaitan sukarelawan yang menarik minat aku untuk memberikan perkhidmatan. Tapi, kebanyakan pendaftaran dalam bentuk helian dokuman format pdf yang perlu dicetak. Waaaa! tiada ke yang hanya perlu diisi atas talian? Boring betul. Halangan-halangan yang macam ini lah yang membantutkan niatku dengan perkara-perkara murni yang aku nak buat. Haih! Macam mana nak buat ni?!

Tapi tidak mengapa. Perkara-perkara sebegitu sememangnya akan mematahkan sedikit semangatku, namun aku cuba berusaha untuk merialisasikannya. Ya Allah permudahkanlah =)

Tuesday, 26 March 2019

Buatlah keputusan tu cepat

Semakin aku menginjak dewasa semakin banyak benda yang memerlukan aku untuk membuat keputusan. Aku rase aku sememangnya agak mentah dalam membuat keputusan. Seriously, aku tak suka membuat keputusan.

Baru-baru ini, hidup aku rasakan hambar. Yelah, tak semua yang kita harapkan secerah dan seceria warna pelangi. Bila didatangi hujan pasti kelabu dan berjujuran air jatuh ke Bumi. Wah! Metafora. haha. Tapi tulah perumpaan yang aku rasakan tepat untuk situasi yang dialami sekarang. Bukan tidak bersyukur, namun lebih mudah dikatakan tidak tahu mana arah nak ditujui. Moga Allah sentiasa menunjukkan jalan yang lurus dan juga jalan orang-orang yang beriman tidak pula yang disesatkan. Amin!

Keputusan yang nak dibuat agak rawak. Tidak perlukan tempat atau masa yang spesifik. Persoalan demi persoalan seringkali menerjah ke otak aku yang RAM nya agak sederhana ini yang aku rasakan perlu dinaik tarafkan. Hiks! Aku yakin semua nakkan sesuatu yang spesifik, sesuatu yang cantik, sesuatu yang meyakinkan, sesuatau yang bersih, sesuatu yang selesa dan dengan ayat yang mudah semua mahukan semua adjektif yang positif. Tetapi sesuatu yang besar tidak akan datang dengan satu langkah permulaan kecil. Huargh!

Jadi aku fikirkan, aku perlukan suatu kemahiran yang akan memberikan manfaat sampingan kepada diri aku sendiri. Aku suka berangan, tapi angan-angan masa depan tentang kehidupan yang macam mana aku gagal untuk bayangkan. Aku tak tahu. Kemahiran yang ada aku yakin akan memberikan keuntungan suatu hari nanti buat aku dan mungkin juga buat keluarga aku sendiri.

Berdasarkan pengalaman yang sedia ada, aku cuba untuk aplikasikan untuk kehidupan masa hadapan aku. Kemahiran yang aku rasakan kurang sangat merugikan. Kemahiran yang aku nak buat sememangnya sinonim dengan perempuan, aku nak menjahit. Sepasang baju ditempah dengan harga RM200-RM300. Jika ditakdirkan aku diberikan rezeki beberapa anak perempuan, mungkin kos untuk tempahan baju akan agak membebankan perbelanjaan aku dan bakal suami (haha, tak tau siapa).

Suatu hari nanti bila aku baca semula entry ini, aku sememangnya kuat dan kental daripada yang aku sendiri dapat fikirkan. Sob3 ;(

Saturday, 23 March 2019

Selamat Pengantin Baru Adik


23 Mac 2019. Hari bahagia buat sepupu ku yang aku rasakan seorang yang sangat berpandangan jauh namun tidak banyak kerenah dan kata-kata. Seriously aku rasa bertuah perempuan yang berjaya jadi suri hati untuk bersamanya, InsyaAllah sehingga ke hari tua. Budaknya baik, insyaAllah dapat yang baik juga.

Kehadiran kami adik beradik agak lambat. Bertolak dari rumah selewat 12 tengah hari. Alhamdulillah pasangan pengantin belum tiba lagi. Adalah kesempatan untuk melihat sendiri kemasukan Raja Sehari ke dalam dewan.

Aku sememangnya seorang yang sangat sukakan majlis-majlis sebegini. Semestinya majlis yang diadakan meriah dan penuh dengan warna-warni. Sama ada dari makanannya yang pelbagai warna sehinggalah ke persiapan pelamin. Sudah tentu mengasyikkan mata setiap melihatnya.

Terima kasih daun keladi tuan rumah, semoga pasangan pengantin berbahagia sehingga ke syurga. =)

Wednesday, 13 March 2019

Hijau

Hi, haha!
Baru-baru ni, aku dapat merasakan yang aku sangat suke berjoging. Berkemungkinan dengan faktor tempat. Trek joging sangat best, tempatnya redup, tasiknya dihiasi dengan pancutan air pancut di beberapa tempat. Tak pasti. Aku hanya suka, bukan hanya sekadar suka tetapi suka yang sangat suka. Aku ada satu minat yang aku rase tak semua akan suka aktiviti yang aku buat. Heh! Tetiba tengah menulis aku ternampak lori Alam Flora. Menyampah gila setiap kali aku tengok lori tu, semuanya kerana peristiwa yang berlaku disebabkan oleh lori tu. Ye. Lori tu. Bukan salah lori tu sebenarnya, tetapi pemandu lori yang dikatakan sangat berpengalaman dalam memandu lori.

Malas nak fikirkan peristiwa yang menyakitkan hati tu. Aku suka tengok pokok. Warna hijau yang ada pada daun-daun sangat menenteramkan hati yang luka, yang kecewa atau apa sahaja perasaan yang dialami. Pokok ada banyak jenis, banyak bentuk, bunga dan buah yang dihasilkan juga pelbagai. Oh, sangat unik.

Dalam banyak-banyak pokok yang ada di tempat tinggal semasa, aku suka tengok satu pokok ni. Macam mana aku nak gambarkan pokok ni ye, bunganya merah jambu bercampur putih, saiz bunganya tidaklah besar, batangnya membengkok ke kanan menghala ke jalan dan ada beberapa dahan yang menyokong kukuh pokok berkenaan. Sangat cantik!

Setiap kali keluar masuk ke bangunan bertingkat seakan roti sandwich ni, mata pasti akan tertoleh ke pokok kegemaran. Ya, manusia akan tertarik pada sesuatu yang cantik dan menarik bukan? Mungkin aku akan tengok balik warna kesukaanku, yang sebelum ini aku sukakan warna merah jambu tetapi warna hijau sememangnya menenangkan.

Tuesday, 12 March 2019

Aku suka apa?!

Selesai solat Maghrib malam ini, komputer riba dihidupkan dan jari jemari dirasakan ingin menceritakan perasaan hati yang girang. Heh! Tempat biasa diselesakan dan kelihatan makcik gerai  makan dibawah, ligat membasuh bekas makanan di dapur gerainya. "Ai makcik, malam ni takde lagu hindustan Ab Ab laut chale ke?" hehe.

Otak  masih ligat memikirkan perbincangan pada petang tadi. "Awak suke ape?". Soalan yang paling sukar untuk dijawab. Persoalan yang diajukan dirasakan ikhlas menanti jawapan, namun semestinya hanya kehampaan yang dapat disampaikan. Aku pun tak tau aku suka apa sebenarnya. Oh! Aku masih tidak mengenali diriku sepenuhnya sedangkan yang bertanya dirasakan arif akan perkara-perkara atau aktiviti-aktiviti yang disukainya. Kenapa? Kenapa?

Persoalan yang membelenggu fikiran dialihkan apabila telefon yang senyap berdering, dicapai dan dilihat siapakah gerangan di hujung talian sana yang mendail. Satu perasaan yang menggembirakan. Ingatan daripada sahabat pejabat lama diangkat dan dijawab dengan hati yang girang. Pertanyaan khabar silih berganti, aktiviti seharian dikongsi seakan sudah lama tidak bertemu. Aku rasa persahabatan adalah satu ikatan yang murni apabila ianya di jambatankan dengan perasaan ikhlas dan jujur antara satu sama lain tanpa ada rasa iri hati serta cemburu akan kelebihan yang lain.

"Ya Allah sesungguhnya tiada apa-apa yang aku miliki selain apa yang Engkau berikan kepadaku, dan tiada apa yang aku tahu melaikan apa yang Engkau ajarkan kepadaku. Tidak layak bagiku untuk mempunyai perasaan takabur, riak, sombong, angkuh dan meninggi diri. Jauhkanlah diriku daripada mempunyai perasaan-perasaan begitu ya Allah." Amin YRA

Saturday, 9 March 2019

Kueytiaw sup kakak sup utara

Pagi sabtu yang sangat produktif. Heh!
Ya sangat produktif. Kedatang hujung minggu sememangnya sangat  dinantikan. Keseronokan membeli belah di pasar pagi sangat mengasyikkan. Mungkin kedengaran agak janggal, tetapi itulah yang ditunggu-tunggu. Biar diri sendiri sahaja yang faham keterujaan dalam hati. hehe

Dipanjatkan kesyukuran ke hadrat Illahi, atas kasih sayang serta rahmat  kurniaan yang diberikan sepanjang kehidupan di dunia. Masih diberikan nikmat yang tidak putus-putus, walaupun tidak semewah keadaan di istana atau mahligai kayangan namun keperluan harian dipenuhi secukupnya. Alhamdulillah =)

Nikmat kesihatan yang ada perlu dijaga sebaiknya. Sekaya manapun manusia, harta yang dikumpulkan tidak menjamin kebahagian hidup di dunia sekiranya masa yang ada dihabiskan di hospital atau rumah sakit tanpa dapat melihat keindahan dan kecantikan alam Yang Maha Cantik. Pagi yang indah dihabiskan dengan berjoging di tasik. Nikmat penglihatan sangat disyukuri, dapat melihat kehijauan pokok-pokok serta makhluk ciptaanNya. Seperti biasa sememangnya ramai warga kota menghabiskan waktu pagi mereka beriadah bersama ahli keluarga. Semakin ramai orang, semakin banyaklah juga ragamnya.

Antara tempat yang wajib dituju setiap pagi sabtu, gerai kakak sup utara. Kueytiaw sup menjadi pilihan setiap kali berkunjung ke kedai kakak. haha! Perut yang dibiarkan kosong dari pagi, menyebabkan tekanan darah tidak menentu dan menyebabkan diri dirasakan mahu rebah ke bumi. Bunyi agak drama bukan? Tempat menanti di hadapan gerai yang kosong diisi kerana disangkakan barisan pelanggan yang menunggu adalah pendek, tetapi rupanya agak panjang.

Seusai memesan makanan untuk dibungkus kedengaran suara tidak puas hati di sebelah daripada pelanggan yang juga menanti makanan yang dipesannya. "Akak, kita kan beratur kan kak. Saya da lama dari tadi tunggu tak dapat-dapat lagi". Errrr? Akak tu marah. Seperti tamparan yang hinggap di telinga, ketidakpuashatian pelanggan yang hatinya bergelora marah dilayan seakurnya. Ye, aku memotong barisan. Tapi kenapa nak marah sangat hanya untuk dapatkan sebungkus mihun sup?

Akhirnya kueytiaw sup dapat juga dibeli selepas beberapa minit menanti giliran. haha!
Penantian yang agak lama, menyebabkan rasa pening masih tersisa. Sambil menunggu adik yang masih leka membeli itu dan ini, badan direhatkan di bangku berhampiran gerai kakak sup. Kesibukannya melayan pelanggan tidak meghalangnya untuk melemparkan senyuman sebaik sahaja mata tertatap antara satu sama lain. Manis senyuman, mungkin memberikan masej "Jangan putus asa untuk datang beli lagi" hehe.

Kueytiaw! Kueytiaw!

Friday, 8 March 2019

Hari Wanita dan 1 Rejab

Baru-baru ni aku rasakan yang aku suka menulis. Adakalanya sesuatu benda susah untuk diungkapkan dengan kata-kata, tapi adakalanya dengan tulisan juga manusia susah untuk memahami situasi sesuatu keadaan dan emosi yang diletakkan dalam sesuatu penulisan. Iya? Ini pengalaman yang betul-betul dialami, dan aku pasti yang lain juga akan merasakan begitu kerana pemahaman melalui tulisan adalah berdasarkan mood pembaca ketika membaca sesuatu masej yang diterima. 

Hari ini 2 sambutan yang disambut seluruh dunia; Hari Wanita Sedunia dan juga 1 Rejab. Bersempena sambutan Hari Wanita Sedunia hari ini, tema "Seimbang Untuk Sejahtera" telah dipilih. Memperkasakan wanita bagi aku adalah satu benda yang penting bersesuaian dengan peredaran zaman di mana ianya bukanlah untuk menyaingi lelaki tetapi dalam bersama-sama untuk membangunkan generasi. Kepentingan wanita dalam membentuk generasi masa hadapan telah banyak dibuktikan dalam lipatan sejarah manusia. Keunikan yang dimiliki wanita yang tiada pada lelaki telah menyumbang kepada keseimbangan yang lebih positif. Kelembutannya, kepandaiannya, kecekalannya dan kesebarannya adalah dikagumi. Betul? sebab aku kagum dengan umi aku. Umi wanita yang aku kagumi sepanjang hidup aku, walapun akan wujud ramai wanita yang berjaya dalam hidup, umi sentiasa jadi wanita cekal dan paling kental. 

Aku yakin bersempena 1 Rejab ramai yang menerima masej yang berbunyi; Rasulullah bersabda: "Barang siapa yang memberitahu berita rejab kepada yang lain, maka haram api neraka baginya". Diatas rahmat dan nikmat Allah yang maha tahu, atas hadirnya sahabat yang perihatin membuatkan aku terbuka untuk menyelidik kesahihan ungkapan yang kononnya daripada rasul junjungan. Berdasarkan tulisan yang dibaca pada Laman Web Rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan yang sememangnya menjadi tempat rujukan utamaku hal-hal berkaitan agama. Penulis menegaskan yang mana hadis berkenaan adalah palsu dan tidak diketahui asalnya daripada kitab-kitab hadis yang muktabar. Ini merupakan salah satu pendustaan yang direka dan disandarkan di atas Nabi SAW. Kesemua hadis yang menceritakan tentang kelebihan memberitahu akan kemasukan awal bulan-bulan Islam ini adalah palsu. Justeru itu, penyebaran hadis ini perlu dihentikan dengan serta merta sama ada melalui meja-meja penceramah dan juga media sosial serta ia tidak boleh lagi disebarkan melainkan untuk menyatakan kepalsuannya. Maklumat lanjut berkenaan perkara ini boleh la dirujuk kepada yang lebih arif dan ahlinya atau terus dibaca pada laman web berkenaan agar kita tidak sama-sama bersubahat dalam berkongsi perkara-perkara yang tidak sahih dan seterusnya akan menambahkan kekeliruan umat Islam. Wallahua'lam.

Thursday, 7 March 2019

Random

Malam semakin melabuhkan tirainya. Penduduk kota beransur pulang ke rumah masing-masing. Ada yang masih mencari rezeki. Kehidupan dewasa amat memenatkan jika nak dibandingkan kehidupan kanak-kanak seusia 7 tahun. Nada berbentuk keluhan, namun jauh di sudut hati bersyukur dengan segala nikmat dan rezeki yang telah ditentukan hari ini. Pengalaman hidup semestinya mematangkan usia, tidak semua yang dihajati akan dimiliki sehendaknya. Ada yang perlu menempuh ujian, dugaan, kesusahan samaada dari manusia atau pelbagai cara. Manusia hidup memang penuh dengan ujian. Muhasabah diri sama ada melalui pengamatan atau pendengaran daripada yang ahlinya meyakinkan diri yang kehidupan di dunia hanyalah satu tempat penyinggahan dan akhirat juga yang kekal abadi.

Manusia zaman sekarang hidup dalam keadaan yang penuh depresi dan tekanan. Kekayaan dunia dicari semahunya saban hari tanpa kenal erti penat sehingga ada yang sanggup mengambil kesempatan dan menindas manusia yang lain demi kepentingan dirinya. Pernah satu ketika soalan ini mengganggu fikiran, sekiranya ini adalah satu tempat singgahan mengapa itu yang dicari-cari? Mengapa kekayaan dunia yang diagung-agungkan. Namun berbalik kepada realiti, manusia perlu survive untuk hidup dalam keadaan sempurna samaada sempurna dari pandangan fizikalnya ataupun emosinya. Yang berpangkat dan yang berharta akan mudah masuk ke dalam kelompok masayarakat berbanding yang sebaliknya. Pelik!

Walauapapun objektif hidup di dunia, kenalah sentiasa ingat yang semuanya adalah milik pencipta yang maha Esa. Tanpa izinNya apa yang ada, pasti bukan jadi milik kita. Manusia menyangka yang apa dimilikinya adalah hasil daripada usahanya, sangat angkuh apabila ada yang berasa begitu tanpa menisbahkan semula nikmat dan rezeki yang dimiliki pada yang maha Kaya.

Salam Satu Rejab. Doa kita semoga bertemu sekali lagi bulan yang sebaik-baik bulan. Bulan Ramadhan. Semoga bertambah amal ibadah, semoga bertambah iman dan takwa, semoga bertambah baik kesihatan dan semoga bertambah barkah rezeki.